Inilah rupa anak lelaki Michael Jackson, Blanket yang kini telah meningkat remaja.

Blanket, 16 tahun merupakan anak bongsu Michael Jackson dan baru-baru ini, pihak media telah melihat penampilan terkini remaja itu di Los Angeles selepas pemergian mengejut bapanya pada tahun 2009.

Remaja kepada bintang pop dunia itu dilihat membuat penampilan di kawasan umum sambil memegang beberapa buah buku dari Barnes & Nobles. Blanket juga dilaporkan baru selesai membeli-belah sempena Hari Natal di Calabasas. Blanket atau nama sebenarnya, Prince Michael Jackson II merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Dia kini dikhabarkan tinggal bersama dua lagi adik-beradiknya dan nenek mereka, Katherine Jackson.

Lebih mengharukan lagi, penampilan Blanket ketika kecil yang gemar berambut panjang masih lagi dikekalkan meskipun telah meningkat usia remaja. Tambahan pula, penampilan Blanket yang ringkas dan bersahaja walaupun mewarisi harta kekayaan bapanya membuatkan remaja ini hampir sahaja tidak dikenali dan kelihatan sama seperti masyarakat biasa.

Blanket hanya berusia enam tahun ketika bapanya pergi buat selamanya akibat masalah hentian degupan jantung sekitar Jun 2009. Sepanjang Blanket membesar, dia seringkali dianggap mewarisi rupa bapanya dari pelbagai sudut.

“Awak banyak mengingatkan saya kepada dia (Michael),” kata Joe iaitu datuk Blanket. Terdahulu sewaktu Blanket dan adik-beradiknya yang lain masih kecil, mereka tidak sesekali dibenarkan untuk berada di khalayak ramai terutamanya dengan populariti bapa mereka yang dikenali seluruh dunia. Michael sering dilihat memakaikan topeng pada wajah anak-anaknya ketika mereka sekeluarga keluar ke kawasan awam.

Disebabkan itu jugalah, Blanket mengekalkan pendirian untuk tidak meraih populariti sehingga kini dan dia lebih cenderung memilih menjalani kehidupan peribadi tanpa mendapat perhatian dunia. Raja Pop dunia ini turut pernah mengejutkan peminatnya dalam satu insiden pada November 2002 apabila dia dilihat memegang Blanket yang pada ketika itu baru berusia 9 bulan di luar balkoni di sebuah hotel yang terletak di Berlin.

Bagaimanapun, Michael membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyifatkan insiden mengejutkan itu sebagai satu ‘kesilapan terburuk’. “Saya terperangkap di dalam keterujaan pada waktu itu. Saya tidak pernah terniat untuk membahayakan nyawa anak-anak saya.” Sumber: The Mirror

10 Fakta Pelik Tentang Micheal Jackson Yang Belum Diketahui Ramai.

Pada 25 Jun yang lalu, genap sudah 8 tahun Raja Pop, Michael Jackson tinggalkan kita. Melalui zaman kegemilangan yang begitu masyhur, Michael Jackson mungkin merupakan orang yang paling terkenal di dunia, malah dikasihi di setiap benua. Namun, dia tinggalkan salah satu warisan yang paling aneh dari mana-mana manusia dalam sejarah, dari menjadi salah seorang penyanyi terlaris sepanjang masa hinggalah tuduhan menodai kanak-kanak, ketagihan yang mengerikan kepada pembedahan plastik, dan tajuk berita tabloid legenda yang mengaburi sempadan antara fantasi dan realiti.

1. Berhasrat untuk membintangi filem Spider-Man : Pencipta superhero telah mendedahkan Michael Jackson pernah merancang untuk membintangi filem Spider-Man baru sebelum pemergiannya. Jackson merancang untuk membeli penerbit komik Marvel bersama Stan Lee pada akhir 90-an, tetapi perjanjian itu gagal dilaksanakan.

Legenda Marvel, Stan Lee berkata Raja Pop itu telah membincangkan rancangannya untuk menghasilkan filem itu dan percaya dia mahu memainkan sendiri karakter pelontar sarang labah-labah itu. Jacko adalah peminat seumur hidup Spidey dan wira-wira buku komik yang lain.

Pada bulan Februari, dia melelong patung-patung bersaiz sebenar Batman, Spider-Man dan Superman dari koleksi peribadinya bersama-sama dengan cetakan bertandatangan yang satu seumpamanya. Koleksinya juga termasuk kostum Batman getah yang disesuaikan dengan replika saiz sebenar dirinya sendiri. Filem Jackson yang paling memberikan impak setelah terjun dalam bidang perfileman ialah filem yang gagal mendapat sambutan, Moonwalker pada tahun 1988 yang dibintangi dirinya bersama pelakon Goodfellas, Joe Pesci.

2. Sepatutnya berada di WTC semasa kejadian 9/11 : Abang Michael Jackson, Jermaine mendedahkan bahawa penyanyi itu sepatutnya berada di World Trade Center (WTC) pada 9/11 tetapi nyawanya terselamat kerana terlebih tidur. Jackson telah meletakkan jam tangan di peti besi tetapi tertidur selepas berbual dengan ibunya, Katherine pada lewat malam.

Jermaine berkata bahawa mereka mendapati dia sepatutnya berada di sana ketika ibu memanggil pihak hotel penginapannya untuk memastikan dia selamat. Jackson berkata, “Saya selamat. Terima kasih kepada awak, saya berjaga sehingga pukul 3 pagi”. Terdapat juga konspirasi mengatakan bahawa Jackson sudah mengetahui kejadian 9/11 bakal berlaku berdasarkan kulit albumnya berjudul ‘Blood On The Dance Floor’ (1997) dan poster sebuah konsert peribadi anjuran Pepsi di Madison Square Garden (1988) yang menyimpan petanda menyeramkan tentang salah satu serangan terdasyhat abad ini.

3. Memiliki penyakit vitiligo dan berkahwin dengan jururawatnya sendiri : Sepanjang masa mudanya, Michael Jackson mempunyai kulit yang berwarna coklat sederhana seperti orang Afrika-Amerika. Tetapi pada tahun 1980-an, kulitnya menjadi terang dengan ketara. Jackson mendakwa dia mempunyai kondisi yang disebut ‘vitiligo’. Beberapa tahun kemudian, laporan bedah siasatnya mengesahkan dakwaan itu.

Vitiligo adalah kelainan kulit yang jarang berlaku menyebabkan sel penghasil melanin menjadi rosak dan gagal. Michael sangat rapat dengan doktor kulitnya, Dr. Arnold Klein. Dia juga berkahwin dengan jururawatnya, Debbie Rowe yang kemudiannya mempunyai anak bersama Michael iaitu Michael jr. Dan Paris. Pasangan itu bercerai pada tahun 1999. Rowe baru-baru ini mengumumkan pertunangannya dengan rakan Jackson, Marc Schaffel yang merupakan seorang penerbit filem dewasa.

4. Berkepala ‘botak’ dan memakai rambut palsu : Semasa menjalani penggambaran iklan komersial Pepsi yang disimulasikan untuk kelihatan seperti sebuah konsert secara langsung, Michael terbakar dalam sebuah kejadian melibatkan persembahan bunga api. Semasa percubaan keenam komersial tersebut, sebuah letupan berlaku terlalu awal mengakibatkan rambut Michael terbakar.

Selama beberapa ketika, dia terus menari tanpa menyedari apa yang telah berlaku. Barisan pelakon dan ahli kru dengan cepat mengepungnya dan memadamkan api tetapi pada masa itu, kerosakan telah berlaku. Dia mengalami kebakaran tahap dua dan tiga pada muka dan kulit kepalanya. Untuk mengatasinya, dia mentatukan garis rambutnya secara kekal hingga ke dahinya dan memakai rambut palsu yang dilekatkan pada rambut yang autopsinya menggelarkan sebagai ‘sedikit dan bertaburan’ Rakaman insiden itu disimpan selama 25 tahun tetapi telah dibocorkan oleh Us Weekly pada tahun 2009, satu tindakan yang dikutuk hebat oleh Pepsi.

5. Pepsi titik permulaan ketagihan membuat pembedahan plastik : Ternyata, insiden penggambaran komersial Pepsi itu mempunyai kesan yang meluas selain membakar rambut Michael. Operasi yang melelahkan terpaksa dilaluinya selepas itu dikatakan telah menimbulkan kecanduannya terhadap ubat penahan sakit dan obsesi dengan pembedahan plastik.

Dalam autobiografinya berjudul ‘Moonwalk’ pada tahun 1988, Michael mengakui dua rhinoplastik seolah-olah untuk membantu dia bernafas dengan lebih baik dan membuat lekuk di dagunya. Dia memberikan bermacam-macam sebab atas perbezaan lain dalam penampilannya seperti akil baligh, diet vegetarian, teknik solekan pentas dan pencahayaan, tetapi dia jelas menjalani prosedur yang banyak.

Doktor telah mencadangkan bahawa Jackson mengalami gangguan dismorfik tubuh badan. Adalah dipercayai bahawa dia menjalani pembedahan untuk meningkatkan tulang pipi, mengubah bibir dan mengangkat dahi, selain pembedahan hidung yang banyak. Turut dilaporkan bahawa bapanya, Joe pernah menghina Michael ketika kanak-kanak dengan memanggilnya dengan gelaran ‘si hidung besar’ yang mungkin mencetuskan lagi masalah ketagihannya itu.

sumber : illuminasi